July 05, 2013

Allah CINTA Orang Bertaqwa, Besar Hati dan Merahsiakan Ibadahnya

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah 
menyintai hamba yang bertaqwa, besar hati lagi merahsiakan 
ibadah yang dilakukannya.“
Hadith riwayat Muslim di dalam Kitab az-Zuhd.

Huraian Hadith :

Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa Allah menyintai seseorang 
hamba yang bertaqwa iaitu hamba yang beriman kepada 
perkara-perkara ghaib, mendirikan solat, menginfakkan harta 
ke jalan Allah, beriman dengan segala yang diturunkan kepada 
Muhammad s.a.w dan yang diturunkan kepada rasul-rasul sebelum 
baginda, meyakini akan adanya hari akhirat, menepati janjinya, 
menjauhi segala yang Allah haramkan, taat kepada Allah dan 
mengikuti syari’at-Nya yang dengan syari’at tersebut Allah telah 
mengutus penutup nabi-nabi sebagai penghulu mereka.

Kebesaran Hati : Maksudnya adalah kekayaan jiwa, kekayaan 
yang dicintai, berdasarkan sabda baginda s.a.w : “Yang dimaksud 
dengan kekayaan adalah kekayaan jiwa “

Ibnu Baththal mengatakan : “Makna dari hadith tersebut ialah 
bukannya kekayaan itu diukur dengan banyaknya harta kerana 
sebahagian besar orang yang Allah berikan kelapangan  harta 
baginya tidak merasa cukup dengan apa yang dia ada dan tidak 
mempedulikan dari mana puncanya, seolah-olah dia bagaikan 
seorang fakir. Kekayaan sebenar ialah kebesaran/kekayaan jiwa, 
iaitu yang merasa cukup dan puas dengan apa yang diberikan 
kepadanya dan redha  serta tidak tamak dalam mencari tambahan 
harta dan tidak pula rakus dalam menuntut harta benda“.

Al-Qurthubi mengatakan : “Makna hadith tersebut, bahawa 
kekayaan yang memberi manfaat atau yang bernilai sangat besar 
atau yang terpuji adalah kekayaan jiwa “. Iaitu seseorang yang j
iwanya telah cukup tandanya dia menahan diri dari sikap tamak, 
dengan itu jiwanya akan meraih kemuliaan dan mendapatkan  
kehormatan, kemuliaan, dan pujian berbanding orang yang 
jiwanya fakir kerana kemahuan yang tinggi meraih harta, sehingga 
terjerumus pada perkara-perkara yang keji lagi hina  seperti tamak, 
rakus, bakhil dan lain-lain. Rumusannya ialah orang yang memiliki 
akhlak yang baik, merendah diri, berazam, lembut tutur kata dan 
pemurah.  

Merahsiakan Ibadatnya iaitu seseorang yang tidak menunjuk-nunjuk 
ibadat yang dilakukan dan dilaksanakan dengan ikhlas. Kesimpulannya, 
orang yang bertaqwa, kaya jiwa dan ikhlas ialah mereka yang 
dicintai Allah.