July 05, 2013

Gambaran Kehidupan Orang Yang Beriman

Hadith :

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Gambaran kehidupan 
orang yang beriman dari segi kasih sayang , saling bersimpati dan 
saling cinta mencintai samalah seperti anggota tubuh yang jika salah 
satu daripadanya mengadu kesakitan, ia melibatkan seluruh anggota 
lain yang tidak tidur malam dan demam”.
 
Riwayat Ahmad dan Muslim

Huraian
i) Kerjasama adalah kunci kejayaan dalam segala aspek kehidupan.
 Ia boleh mewujudkan suasana kehidupan yang harmoni dan stabil 
kerana daripada kerjasama akan menerbitkan kemesraan berkomunikasi, 
kasih sayang serta saling bersimpati di antara satu sama lain. Bak kata 
pepatah “cubit peha kiri, peha kanan terasa sakit”.

ii) Makhluk Allah adalah saling perlu memerlukan di antra satu sama 
lain di mana manusia tidak mungkin hidup tanpa alam persekitarannya 
dan alam persekitaran pula tidak akan membangun tanpa ada manusia 
yang mengusahakannya.

iii) Kejayaan Rasulullah s.a.w. melahirkan masyarakat yang berkasih 
sayang dapat dijadikan contoh yang paling baik bagi mewujudkan 
suasana bekerjasama dalam masyarakat masa kini. Ia berpunca 
daripada sikap dan suasana positif yang dibentuk oleh Rasulullah 
menerusi pendidikan dan program motivasi yang berjalan secara 
berterusan sehingga wujudnya individu yang berperibadi mulia dan 
kukuh sehingga naluri kerjasama dan saling memerlukan itu 
berkembang subur menjadi satu tenaga yang mampu menggerakkan 
masyarakat Islam membawa perubahan besar kepada tamadun 
dunia.

Sama-samalah kita mengamalkan isi kandungan hadis ini.

Wassalam