July 05, 2013

Bersabar Dalam Berdoa

 
Hadith :
 
Dari Abu Hurairah r.a bahawa nabi SAW telah bersabda:”Allah 
sentiasa memperkenankan doa seorang hamba selama doa itu 
tidak mengandungi (perkara) dosa, (perkara yang) memutuskan 
silaturrahim dan selama tidak meminta supaya cepat-cepat 
diperkenankan.” Lalu baginda ditanya oleh seseorang:”Apa 
maksudnya meminta dicepatkan?”Jawab baginda:”Umpamanya 
seseorang itu berkata dalam doanya:”Aku telah berdoa, aku telah 
berdoa tetapi aku belum melihat doaku diperkenankan. Lalu aku 
putus asa dan berhenti berdoa.”
 
(Hadith Riwayat Muslim)

Huraian :

1.       Betulkah setiap doa akan dikabulkan oleh Allah ? Mungkin ada 
antara kita yang telah berdoa sesuatu namun tidak merasakan 
keberhasilannya. Selaku hamba, kita harus menyedari bahawa kita 
tidak berhak memaksa Allah kerana kitalah yang berhajatkan 
sesuatu bukan sebaliknya.

2.       Sesungguhnya Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita atau 
mungkin Allah mempunyai ketentuan lain yang tidak kita ketahui. 
Mungkin juga doa kita bukan tidak dikabulkan tetapi ditunda 
waktunya atau diganti dengan yang lebih baik.

3.       Nabi Zakaria a.s adalah contoh manusia yang sangat kuat nilai 
kesabarannya. Baginda telah puluhan tahun berdoa agar dikurniakan 
zuriat namun belum dikabulkan Allah. Antara isi doa baginda ialah: 
“Ya Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah 
ditumbuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa 
kepada Engkau, ya Tuhanku. (Maryam:4) sehingga pada akhirnya 
Allah SWT memakbulkan permintaan baginda dengan mengurniakan 
seorang anak lelaki bernama Yahya. Begitulah sikap yang seharusnya 
kita contohi iaitu jangan sekali-kali kecewa dalam berdoa.