July 05, 2013

Elakkan Berkata "KALAU"

Terjemahan Hadith :
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Mukmin yang kuat lebih 
disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada 
kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara 
yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah 
pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu 
musibah, maka jangan engkau berkata:”Sekiranya (kalau) aku l
akukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi 
katakanlah:”Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan 
apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘kalau’ akan membukakan 
pintu amalan syaitan.”

Riwayat Muslim

Huraian
 
1. Kekuatan seseorang Muslim itu diukur bukan sahaja dari segi fizikal (tubuh badan) tetapi juga dinilai daripada aspek kekuatan iman. Bahkan itulah yang paling penting.

2. Orang yang sentiasa berwaspada terhadap nikmat kehidupan di dunia tidak akan mudah terjerumus dalam perangkap syaitan. Segala tindakan yang diambil mencerminkan ketaqwaannya kepada Allah dan dia sekali-kali tidak membiarkan kebaikan dan keburukan yang menimpanya sebagai suatu kegembiraan (kemenangan) dan kesedihan semata tetapi percaya bahawa semuanya itu mempunyai hikmah yang tersendiri daripada Allah untuk diambil pengajaran.
 

3. Ucapan ‘kalau’ tidak harus diamalkan kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak redha dengan apa yang telah berlaku. Sebaliknya kita hendaklah sentiasa berfikiran positif dan ingat bahawa segala yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk itu adalah daripada kelemahan diri kita sendiri. Oleh sebab itu Islam menyuruh umatnya agar bertawakkal (berserah) kepada Allah SWT dalam melakukan sesuatu usaha dan percaya bahawa setiap sesuatu itu tidak akan berlaku tanpa keizinan daripada-Nya jua.

* Sumber JAKIM