July 05, 2013

Menjauhkan Riya' dan Mangutamakan Keikhlasan

Hadith :
 
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Adakah kamu mahu 
aku memberitahu kamu tentang suatu perkara yang aku takuti ke 
atas kamu daripada dajal? Mereka menjawab: Sudah tentu wahai 
Rasulullah! Bagindapun berkata:” Syirik khafi iaitu seorang lelaki 
bangun bersembahyang lalu dia memperelokkan sembahyangnya 
kerana ada orang yang memerhatikannya.”

(Hadith Riwayat Ibnu Majah)

Huraian :

1. Di antara tanda ikhlas ialah apabila seseorang itu lebih suka 
menyembunyikan kebaikannya sebaliknya tidak suka jika 
kejahatannya disembunyikan. Dia melakukan kebaikan 
semata-mata kerana mahukan keredhaan daripada Allah S.W.T.

2. Sebaliknya riya’ pula adalah mencari sesuatu untuk keuntungan 
diri daripada amalan yang dilakukan di dunia sama ada untuk 
mendapatkan pujian, sanjungan, hadiah dan sebagainya bahkan 
hal ini termasuk dalam perbuatan syirik (syirik khafi).

3. Perbuatan riya’ (suka menunjuk-nunjuk), jika telah menjadi satu 
tabiat, lambat laun akan menyebabkan orang yang 
melakukannya dipandang hina oleh manusia lain. Oleh itu 
ubat riak ialah dengan menyembunyikan amalan yang ingin 
diserlahkan oleh nafsu kecuali amalan yang tidak dapat tidak, 
mesti dizahirkan seperti solat berjamaah, berpuasa dan yang 
seumpama dengannya.

4. Orang yang riak adalah termasuk orang yang munafik. Maka tiadalah 
pahala bagi perbuatan baik yang dilakukannya itu di sisi Allah S.W.T, 
sekalipun ia terpuji di mata manusia

5. Keikhlasan sentiasa dipandang bersama INTEGRITI atau 
kejujuran. Maka jika kita ikhlas dalam melakukan pekerjaan, 
tiada lagi masalah INTEGRITI dalam setiap perkara seperti yang 
akan dikupas oleh Al-Fadhil Ustaz Ismail Hashim bin Junaidi, 
Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah Jakim dengan 
tajuk, “PETUNJUK PRESTASI UTAMA : REALITI INTEGRITI”. 
Bersama-sama kita amalkan. InsyaAllah.